Seorang lelaki dipercayai pelanggan seorang Mak Nyah ditahan reman 7 hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat di tepi jalan di Jalan Batu Nilam 34, Bukit Tinggi 2, Klang, Selangor semalam.

Ketua Polis Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal terhadap suspek mendapati mangsa maut setelah terjun daripada kenderaan kerana enggan mengaku mencuri telefon bimbit suspek berusia 59 tahun itu.

“Hasil siasatan awal, suspek tidak berpuas hati dan mendakwa mangsa telah mencuri telefon bimbitnya. Suspek kemudiannya memarahi mangsa. Ekoran itu mangsa seorang mak nyah berusia 39 tahun didakwa telah terjun dari kenderaan suspek.”

Shamsul berkata, akibat tindakan terjun dari kenderaan yang sedang bergerak, mangsa yang mempunyai 3 rekod lampau bersabit dadah cedera parah di kepala selain mengalami kecederaan di beberapa anggota badan.

Polis turut merampas kenderaan jenis Toyota Harrier, kunci dan pakaian milik suspek untuk siasatan lanjut.

Untuk rekod, pada 12 Disember lepas, polis Klang Selatan turut menerima laporan kejadian seumpama ini dengan menahan sekumpulan lelaki memukul seorang Mak Nyah sehingga mati kerana mendakwa mangsa mencuri telefon bimbit salah seorang suspek.

Shamsul berkata, motif kedua-dua kejadian disabitkan kes jenayah dan tiada kaitan dengan kebencian terhadap golongan transgender.

Laporan oleh Zanariah Nor Zin

Image result for PDRM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.