KLANG, 11 Mac — Jaga hubungan dengan Tuhan, ibu bapa dan alam sekitar.

Itu antara resipi kejayaan dan nasihat dikongsikan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018, Muhammad Hidayat Mohamed Azami yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Muhammad Hidayat, 20, pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang itu berkata, sokongan yang tidak pernah putus daripada kedua ibu bapanya juga antara pendorong kejayaan beliau dalam peperiksaan itu.

“Berbuat baiklah kepada semua, insyaAllah akan datang kebaikan kepada kita, itu antara amalan saya selama ini selain doa yang tidak putus kepada ibu bapa.

“…dan bagi proses pembelajaran saya untuk STPM pula bukanlah sesuatu yang perlu dihafal, tetapi ia lebih kepada pemahaman terhadap satu-satu subjek itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Muhammad Hidayat berkata, beliau turut memberi fokus ketika sesi pembelajaran dan pengajaran selain belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan sebagai persiapan peperiksaan.

Anak keempat daripada tujuh adik beradik yang berasal dari Cheras itu bercita-cita untuk menjadi pakar kaunseling dan akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan itu.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka boleh mendapat keputusan 4.0, namun sentiasa menanamkan dalam diri bahawa saya boleh berjaya dan saya harap saya boleh menjadi pakar kaunseling untuk membantu orang lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang sekolah itu, Farah Syuhada Zulkepli, 20, berkata sikap tidak malu bertanya antara petua yang diamalkannya untuk memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan STPM.

Katanya, beliau juga tidak mengamalkan cara mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam kerana berpendapat pelajar memerlukan waktu tidur yang mencukupi.

“Apa yang penting dalam kelas kita perlu fokus sebab kefahaman itu sangat penting dan kita juga kena rajin bertanya dengan cikgu apa subjek yang kita tidak faham,” kata pelajar berasal dari Alor Setar, Kedah yang memperoleh PNGK 3.92 itu.

KISAS antara sekolah terbaik STPM 2018 di Selangor dengan mencatat Gred Purata (GP) sekolah 3.49.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.