WASPADA PEDOFIL, IBU BAPA JANGAN ‘MENGUNDANG’ JENAYAH

0
82

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Tahukah anda bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebenarnya boleh dikaitkan sebagai gejala pedofilia yang teruk?

Pedofilia adalah sejenis penyakit yang merujuk kepada kecelaruan seksual yang menyebabkan seseorang mempunyai tarikan seksual eksklusif terhadap kanak-kanak dan peringkat awal remaja (13-15 tahun).

Image result for pedophilia

Pensyarah dan Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Shamsuriani Md Jamal berkata walaupun pendera seksual kanak-kanak tidak semestinya seorang pedofil, namun mereka yang mengalami pedofilia pada tahap kritikal akan terdorong melakukan jenayah seks yang lebih berat.

Beliau yang juga Pengerusi Malaysians Against Pornography (MAP) berkata, gejala yang dialami oleh seorang pedofil antaranya mendapat rangsangan atau keterujaan seksual apabila melihat kanak-kanak yang tidak berbaju dan berfantasi dengan gambar, video atau laman web lucah yang melibatkan kanak-kanak.

“Langkah seterusnya mereka mungkin bertindak atas dorongan fantasi dengan melakukan perbuatan seks (yang dilihat) dengan kanak-kanak seperti menyuruh mereka melakukan oral seks atau memegang bahagian sulit. Dan yang lebih teruk, mereka melakukan penderaan seksual dan jenayah rogol yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

“Golongan pedofil lazimnya terdiri daripada lelaki dewasa yang tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak lelaki atau perempuan yang berusia sekitar 13 tahun dan ke bawah. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk ‘mengesan’ mereka kerana jarang ada yang tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan jauh sekali membuat pengakuan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Pengalaman dicabul, diliwat atau didera secara seksual semasa kecil menjadi antara faktor penyumbang kepada gejala pedofilia manakala gemar menyimpan bahan lucah kanak-kanak adalah antara tanda seseorang itu berkemungkinan pedofil.

Image result for pedophilia

ELAK KONGSI MAKLUMAT ANAK

Sikap ibu bapa yang gemar berkongsi gambar serta maklumat peribadi anak di laman sosial juga boleh mengundang kepada jenayah ini.

Walaupun sudah berkali-kali diingatkan oleh pakar dan pihak tertentu agar berhati-hati dan tidak terlalu mendedahkan ‘si kecil’ di media sosial, namun rasa teruja dan ‘tidak puas’ jika tidak dikongsi, membuatkan ibu bapa meletakkan keselamatan anak mereka dalam keadaan berisiko. 

Lebih malang, masih ramai antara ibu bapa yang meletakkan gambar anak mereka dalam keadaan berbaju renang bahkan tanpa pakaian yang sebenarnya memberi ‘kelebihan’ kepada golongan pedofil serta aktiviti pengantunan seksual dalam talian berlaku.

“Maklumat peribadi seperti nama (termasuk nama timangan), gambar, umur anak serta aktiviti harian keluarga tidak harus dikongsi di laman sosial. Maklumat-maklumat ini yang disangka hanya dikongsi dengan keluarga atau rakan terdekat hakikatnya turut dikongsi dengan orang luar secara tidak langsung.

“Maklumat sebeginilah yang dicari dan boleh digunakan seseorang untuk melakukan aktiviti pengantunan seksual yang mana media sosial menjadi antara platform utama aktiviti tidak bermoral itu,” jelasnya.​​​​​

Aktiviti pengantunan seksual yang dibentuk dalam media sosial akan meningkatkan kemungkinan untuk pertemuan secara fizikal dan bersemuka.

Ini seterusnya akan meningkatkan risiko berlakunya penderaan seksual secara fizikal atau di alam maya dengan kanak-kanak apabila mereka disuruh membuka baju atau menunjukkan gambar bogel.

“Penderaan seksual tidak semestinya melibatkan sentuhan sebaliknya di alam maya juga ia boleh berlaku apabila si pelaku mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak,” katanya.

Tambah beliau, satu kajian yang diterbitkan dalam Journal Psikologi Malaysia 2018 menunjukkan kekerapan penggunaan dan jumlah akaun media sosial memberi kesan langsung kepada tahap kerentanan terhadap pengantunan seksual dalam talian.

Ini bermaksud, semakin kerap kanak-kanak menggunakan media sosial dan semakin banyak jumlah akaun media sosial yang dimilki, maka semakin mudah mereka terdedah kepada proses pengantunan seksual dalam talian.

PANTAU AKTIVITI ANAK

Ibubapa perlu memantau aktiviti anak-anak di alam maya. Satu kajian yang dijalankan di peringkat kebangsaan pada 2014 – Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 35 peratus remaja terdedah kepada bahan pornografi dan sumber bahan pornografi yang utama adalah internet iaitu sebanyak 60 peratus, diikuti telefon, video CD dan bahan bercetak.

Sementara itu, kajian oleh Universiti Heriot Watt dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2017 yang melibatkan 551 remaja sekolah mendapati, 19 peratus pelajar melihat bahan pornografi seawal umur 10 tahun manakala tujuh peratus sebelum umur 8 tahun.  

Kaji selidik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 yang melibatkan kira-kira 27 ribu responden remaja sekolah pula menunjukkan enam daripada tujuh remaja adalah pengguna internet yang aktif serta dua daripada tujuh remaja mengalami ketagihan internet .  

“Akses pornografi melalui talian internet dan telefon pintar kini menjadi sumber yang teramat sukar dikawal. Pemberian gajet tanpa pemantauan adalah ‘resepi’ anak-anak terjebak dengan bahan pornografi. Perlu ada pengawasan di rumah contohnya anak-anak tidak dibenarkan membawa gajet ke dalam bilik tidur, internet hanya akan dibenarkan pada waktu tertentu, memasang ‘network filter’ di rumah dan menggunakan komputer atau gajet hanya di ruang tamu.

“Anak-anak juga perlu diberitahu mengenai pornografi termasuk akibat dan tindakan yang perlu diambil sekiranya terakses ke laman yang tidak sepatutnya. Ibu bapa pada masa sama perlu menjadi teladan kerana banyak kes ketagihan bahan pornografi melibatkan golongan dewasa. Mereka terlebih dahulu perlu memahami bahawa melayari laman pornografi adalah salah daripada segi moral dan agama termasuk mendatangkan kesan pada diri, hubungan dan perkahwinan,” katanya.

Menyifatkan pornografi sebagai ‘dadah’ alaf baru, beliau turut menambah, MAP bergiat aktif dalam memberi pendidikan seksualiti, kesan pornografi serta media sosial kepada golongan ibu bapa, guru dan masyarakat.

LESEN KERJA RASMI

Turut menyentuh kes penderaan dan kematian bayi serta kanak-kanak yang berlaku di pusat jagaan harian, Dr Shamsuriani berkata, sudah tiba masanya kerajaan merangka satu pendaftaran berpusat untuk mereka yang bekerja dengan kanak-kanak.

“Sebagaimana seorang doktor perlu mendapatkan lesen untuk merawat orang sakit, begitu mereka yang ingin bekerja dengan kanak-kanak perlu didaftarkan dan mendapat lesen. Melalui pendaftaran berpusat ini, kerajaan boleh memastikan mereka yang ingin bekerja dengan kanak-kanak tidak mempunyai laporan polis (termasuk kes yang telah ditutup atau dalam siasatan) serta tidak mempunyai rekod jenayah (sama ada disabit kesalahan atau menunggu kes mahkamah) dan sebagainya.

“Mereka juga wajib mempunyai sijil asas kecemasan kanak-kanak. Ini bukan sahaja memberi pilihan kepada ibu bapa bahkan mereka lebih yakin untuk menghantar anak-anak kepada penjaga yang berdaftar,” katanya yang turut menambah pendaftaran berpusat seperti ini terdapat di negara seperti Australia, Kanada dan United Kingdom.

HAK DAN PERLINDUNGAN KANAK-KANAK

Mengulas isu sama, peguam yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pemberdayaan Keluarga (FAME), Fadhlina Datuk Sidek berkata, kes jenayah kejam melibatkan kanak-kanak yang bagaikan tidak berpenghujung adalah kerana kurangnya kesedaran mengenai hak dan perlindungan terhadap golongan itu. 

Kanak-kanak sering ‘menjadi pilihan’ kerana mereka adalah sasaran yang mudah untuk melepaskan kemarahan, tekanan dan dendam, terutama apabila mereka dilepaskan tanpa pengawasan. 

“Pertingkatkan keselamatan kanak-kanak. Advokasi dan literasi undang-undang untuk melindungi kanak-kanak mesti dimasyarakatkan. Komuniti mesti digerakkan untuk menjaga keselamatan kanak-kanak di samping kerajaan juga mesti agresif dalam membicarakan polisi berkaitan hak dan perlindungan mereka.

 “Ibu bapa pada masa sama perlu meningkatkan ilmu keibubapaan termasuk perlu sensitif dengan keselamatan anak orang lain seperti jiran tetangga dan komuniti. Peranan mesti bermula dari rumah bagi memastikan keselamatan anak-anak.

“Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat sebarang penindasan atau penganiayaan berlaku terhadap kanak-kanak,” katanya yang berkhidmat di Tetuan Fadhlina Siddiq & Associates.

PERKASA KOMUNITI

Fadhlina pada masa sama turut menambah, terdapat beberapa inisiatif yang dilakukan oleh negara luar yang boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negara ini bagi membendung jenayah terhadap kanak-kanak. 

“Banyak contoh (kaedah pencegahan jenayah) dari negara luar, tetapi tidak semua sesuai. Perintah berkurung mungkin sesuai di negara lain kerana sokongan dan pemerkasaan seluruh masyarakat dan sekolah tetapi di Malaysia kita belum cukup kuat daripada aspek pengupayaan komuniti.

“Kementerian sehingga kini mengambil banyak langkah proaktif daripada segi polisi dan ia mesti terus diperkasa serta diterjemah ke dalam tindakan. 

“Antaranya perkhidmatan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak NUR Alert akan dilengkapkan kepada pemandu Grab, cadangan dan desakan ramai pihak yang mahu pendaftaran pesalah seksual, isu penjagaan keluarga bukan institusi, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, pindaan hukuman di bawah Akta Kanak-Kanak bagi meningkatkan perlindungan, pindaan undang-undang had umur berkahwin dan banyak lagi,” katanya. 

Inisiatif menjadikan Grab sebagai rakan kongsi strategik NUR Alert diharap akan menyumbang ke arah penyelesaian lebih pantas dalam kes kanak-kanak hilang sekaligus melindungi mereka daripada terdedah kepada pelbagai jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada Februari dilaporkan berkata, prosedur Operasi Standard (SOP) NUR Alert akan dikaji semula dalam menangani kes kehilangan kanak-kanak.

“Yang sangat kritikal hari ini adalah pengupayaan dan pemberdayaan komuniti. Bagaimana masyarakat boleh memastikan ruang selamat dan kanak-kanak sentiasa dilindungi di semua tempat di mana mereka berada.

“FAME melatih ramai ibu bapa, guru dan sukarelawan untuk ‘Latihan Jurulatih’ kanak-kanak dan perlindungan untuk golongan itu. Kami turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, badan pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai pihak lain yang terlibat berkaitan isu kanak-kanak.

“Antaranya merangka dasar kanak-kanak termasuk memastikan pindaan undang-undang berkaitan had umur orang Islam berkahwin di Selangor,” katanya.

RUANGAN SISI

Pendidikan seksual yang berkesan mengikut peringkat umur perlu dimulakan sejak kecil.

Kanak-kanak perlu dilengkapkan dengan kesedaran mengenai hak mereka bagi mengenal pasti situasi bahaya dan melindungi diri sama ada menjadi mangsa jenayah seksual mahupun pemangsa.

Anak-anak lelaki harus dididik dengan personaliti sebagai seorang pemimpin dan pelindung kepada kaum perempuan. 

Komunikasi proaktif penting dalam hubungan kekeluargaan kerana kebanyakan anak-anak yang menjadi mangsa adalah mereka yang berada dalam keluarga yang kurang mengamalkannya.

Anak-anak wajar diberi peluang untuk menyuarakan apa yang dilalui kerana mereka adalah golongan yang naif dan tidak berbohong ketika menyampaikan atau meluahkan perasaan. Mereka juga perlu di ajar untuk menyuarakan pendapat secara terbuka tidak kira di rumah atau sekolah kerana ia penting sekiranya berlaku sebarang masalah mereka akan mengadu.

Ibu bapa harus melaporkan sebarang kejadian yang berlaku tidak kira penderaan fizikal mahupun seksual.

Kebanyakan penderaan seksual terhadap kanak-kanak adalah dilakukan oleh mereka yang kenali dan rapat dengan mangsa dan kebanyakan kes tidak dilaporkan atau lewat dilaporkan atas faktor tidak percaya kepada anak selain ingin menjaga hubungan.

Sekolah dan guru memainkan peranan yang sangat penting kerana separuh daripada masa anak-anak adalah di sekolah. 

Perubahan sikap kanak-kanak, ketidakhadiran ke sekolah, pencapaian di sekolah yang merudum atau semakin lemah, tanda-tanda luka pada bahagian badan , kemurungan dan agresif adalah tanda kemungkinan anak-anak ini sedang mengadapi masalah.

Pihak sekolah juga harus mengambil inistiatif menjalankan kempen kesedaran mengenai penderaan fizikal dan seksual agar kanak-kanak tahu mengenai hak mereka.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.