Sistem perparitan tidak sistematik di Pulau Pinang punca banjir kilat

0
51

GEORGE TOWN, 10 April — Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemantauan dan menyelesaikan segera masalah sistem perparitan yang kurang sistematik di beberapa kawasan yang sering berlaku banjir di negeri ini.

Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata pihaknya difahamkan parit dan sungai yang terdapat di beberapa kawasan yang dilabelkan sebagai ‘hot spot’ banjir dahulunya mampu menampung air yang banyak kerana keluasan parit dan sungai yang lebar dan dalam.

Namun, beliau mendakwa kini keadaan parit dan sungai yang sedia ada tidak lagi mampu menampung kuantiti air yang banyak kerana sempit dan cetek.

“Sebagai contoh masalah banjir kilat di Kampung Titi Hitam, Sungai Bakap Seberang Perai Selatan (SPS) menurut penduduk tempatan, masalah ini berpunca daripada sistem saliran yang kurang baik. Apabila dikaji dan diselidik mendapati puncanya dari sistem saliran yang tersumbat dengan benda asing sehingga menyebabkan terjadinya limpahan air,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya masalah itu akan menyebabkan rumah penduduk dinaiki air walaupun hujan berlaku hanya satu atau dua jam manakala rumah yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air kini mengalami masalah sama berikutan sistem perparitan yang tidak sempurna.

Selain itu, Mohamed Idris berkata pihaknya turut menemui longgokan sisa pepejal seperti sampah sarap yang dibuang ke dalam kawasan hutan bakau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata PBT perlu turun padang dan mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan penduduk bagi membantu menyelesaikan permasalahan itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.