SEREMBAN, 22 April — Semangat kebersamaan boleh dipupuk dengan memberi pendidikan awal mengenai tanggungjawab sosial dan moral kepada murid sekolah, supaya mereka lebih berdisiplin dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Baginda bertitah sebaiknya pendidikan awal ini dimulakan di rumah oleh ibu bapa dan seterusnya di sekolah oleh para guru. 

“Untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keharmonian ini, kita perlu menguatkan semangat kebersamaan di kalangan masyarakat. 

“Di samping itu, semangat kebersamaan ini juga diterapkan melalui pelbagai aktiviti yang disertai oleh para pelajar pelbagai kaum seperti aktiviti-aktiviti sukan, kokurikulum dan sosial. Semua pihak hendaklah memberi sokongan dan galakan kepada penganjuran aktiviti seperti ini,” titah baginda. 

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, hari ini.

Mengenai prestasi ekonomi negeri, baginda bertitah berdasarkan situasi semasa ia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah pelaburan yang diluluskan bagi semua sektor, iaitu telah meningkat daripada RM1.41 bilion pada tahun 2017, kepada RM2.86 bilion pada tahun 2018. 

“Daripada jumlah itu, lebih 56 peratus adalah disumbangkan oleh Pelaburan Asing. Pertumbuhan ini dijangka akan terus mampan pada tahun 2019 dengan sokongan berterusan daripada sektor swasta.

“Bagi terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri supaya kekal berdaya saing, Beta telah disembah maklum bahawa Kerajaan Negeri sedang meneroka potensi baharu resillience economy yang berasaskan penggunaan teknologi terkini, modal insan berkemahiran tinggi dan sektor pembuatan berskala besar,” titah baginda. 

Dalam aspek pengurusan kewangan pula, baginda berasa sukacita apabila jumlah hasil Kerajaan Negeri telah meningkat kepada RM421 juta pada tahun 2018 berbanding RM413 juta pada tahun 2017. 

“Hasil tahun 2018 juga melepasi sasaran yang dibajetkan iaitu RM412 juta. Beta berharap pencapaian yang cemerlang ini akan diteruskan bagi tahun 2019 dengan jangkaan hasil Kerajaan Negeri sebanyak RM430 juta berdasarkan belanjawan yang telah disediakan,” titah baginda. 

“Beta yakin bahawa Menteri Besar serta seluruh jentera pentadbiran akan memastikan lonjakan pembangunan di Negeri Sembilan berada di landasan yang tepat. Pelbagai ruang dan platform tersedia untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pandangan masing-masing,” titah baginda.

Persidangan DUN ditangguhkan dan disambung semula esok.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.