ALOR SETAR, 24 April : Golongan belia yang dilihat lebih gemar meluangkan masa bermain permainan video, perlu berubah dengan menanam minat membaca di dalam diri, kata Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah Shahizan Affandi Zakaria.

“Amalan membaca ini merupakan satu perkara yang susah hendak ditanam dalam diri berbanding perkara lain contohnya bersukan atau bersiar-siar. Golongan belia sekarang juga lebih gemar bermain permainan dalam talian, jadi itu kita kena ubah.

“Semua pihak juga termasuk penjawat awam, pelajar dan ibu bapa perlu menanamkan kembali sifat minat membaca dalam diri,” katanya pada Program Jom Membaca Bersama 10 Minit di sini.

Program itu yang diadakan serentak dengan perpustakaan awam negeri di seluruh negara bermula pukul 11 pagi hingga 11.10 pagi bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia 2019 dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Teh Swee Leong.

Sementara itu di TUMPAT, Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) mensasarkan 500,000 rakyat negeri ini menyertai program Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit hari ini.

“Tahun lepas kami merekodkan seramai 328,999 peserta terlibat dan tahun ini kami berhasrat mencapai angka 500,000 peserta,“ kata Pengarahnya Ruslan Ludin kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Inisiatif Mari Mambaca Serentak Selama 10 minit yang disempurnakan oleh Isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Ab Hamid.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.