Oleh Salawaty Supardi 

IPOH, 13 Mei — Sebelum tarikh 12 Mei 2018 tidak ramai yang mengenali Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan hakikat itu diakui sendiri oleh empunya diri yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Perak.

“Saya tidak menang kerusi Parlimen Tambun atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang kerana saya popular. Siapa kenal saya sebelum ini? Siapa yang kenal saya? Tiada siapa.

“Kenapa saya menang? Kerana rakyat menolak sikap pemimpin terdahulu. Jadi, kita jangan ikut sikap itu,” katanya Ahmad Faizal dalam satu temu bual bersama media sempena setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Perak di sini, baru-baru ini.

Ahmad Faizal yang lebih mesra disapa sebagai ‘Peja’ berkata menyedari dirinya masih bertatih dalam mengemudi bahtera PH di Perak, maka beliau berpegang kepada prinsip tidak malu untuk bertanya terutama kepada kepimpinan Bersatu.

“Saya tidak malu mengakui bahawa jika saya tidak berapa faham tentang sesuatu perkara walaupun tidak (bertanya) kepada Anggota-anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco), saya akan bertanya penjawat awam,” katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata antara rahsia kekal bertahan walaupun berdepan pelbagai cabaran adalah sentiasa mendapat nasihat langsung daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu selain Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

“Saya mempunyai seorang sahabat baik yang berpengalaman iaitu Datuk Seri Mukhriz, beliau juga antara rujukan saya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga antara pemimpin yang saya jumpa jika mengalami apa-apa masalah.

“Saya bernasib baik ada sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin yang jauh lebih berilmu dan banyak pengalaman daripada saya,” kongsi Ahmad Faizal.

Sejak dari hari pertama dilantik sebagai menteri besar, Ahmad Faizal tidak pernah terlepas daripada pelbagai spekulasi dan kecaman, malah ada ‘cakap-cakap’ menyatakan terdapat komplot melibatkan Exco yang mahu menggulingkan beliau.

Bersifat tenang dan rasional, Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu menghadapi apa juga yang datang dan kini selepas setahun beliau kekal sebagai menteri besar.

“Selagi saya jadi menteri besar, saya akan buat sesuatu keputusan demi kepentingan rakyat tak semestinya kepentingan ahli yang menyokong kami (PH), tetapi kepentingan rakyat secara keseluruhannya. Ini janji dan komitmen saya sebagai menteri besar,” katanya.

Ditanya jika Dr Mahathir memberikan skor lima daripada 10 kepada anggota Kabinet, Ahmad Faizal pula berkata beliau memberikan markah enam kepada 10 Exco yang ada di bawahnya sambil menyatakan rasa puas hati terhadap prestasi ditunjukkan setakat ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menyatakan rasa terkilan kerana terdapat kalangan anggota Bersatu Perak yang masih tidak menyedari hakikat bahawa parti itu kini merupakan antara gabungan yang bersama-sama dengan Amanah, PKR dan DAP membentuk kerajaan Persekutuan.

“Ada di kalangan pemimpin akar umbi parti Bersatu mengeluarkan kenyataan, mengkritik kalau saya tak jawab telefon macam saya telah keluar dari agama.

“Saya fikir di mana fokus kita, kenangan yang paling pahit pada saya kerana saya melihat mereka ini sebagai pejuang tetapi apabila Allah berikan sedikit ganjaran berjaya menubuhkan kerajaan dia lari sikit, saya bimbang sedikit mengenai hal itu,” demikian pengakuan Ahmad Faizal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH memperoleh 27 daripada 59 kerusi DUN; Barisan Nasional (27) dan PAS (3).

Namun PH berjaya membentuk kerajaan negeri setelah mendapat majoriti mudah 29 kerusi setelah dua anggota BN menyatakan sokongan kepada gabungan itu untuk membentuk pentadbiran.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.