KUALA LUMPUR, 15 Mei — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa terdapat tiga transaksi wang masuk berjumlah RM42 juta ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).

Bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB, Aishah Ghazali berkata wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun milik bekas perdana menteri itu bertujuan untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Aishah, 37, yang kini merupakan Pengurus Akaun di Redtech Offshore Sdn Bhd ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau telah menyediakan tiga borang pemindahan wang seperti diarahkan oleh Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman bagi tujuan pemindahan dana syarikat berkenaan.

“Saya rujuk kepada borang pemindahan wang bertarikh 26 Dis 2014 bagi pihak Affin Bank memindahkan wang RM27 juta dari akaun IPSB bernombor 10-618-000110-8 kepada akaun di Ambank dengan nombor 211-202-201188-0 atas nama “Amprivate Banking-1MY.

“Tujuan pemindahan wang direkodkan sebagai ‘CSR Programs’ seperti kebiasaan yang saya catitkan,” katanya pada hari ke-18 perbicaraan kes Najib yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-36 itu berkata terdapat juga borang pemindahan wang RM5 juta dari akaun sama milik IPSB kepada akaun bernombor 211-202-201190-6 atas nama “AmPrivate Banking-MY” pada 26 Dis 2014 dan borang pemindahan wang RM10 juta dari akaun milik IPSB kepada akaun bernombor 211-202-201188-0 atas nama “AmPrivate Banking-1MY” pada 9 Feb 2015.

“Merujuk kepada wang berjumlah RM27, RM5 juta serta RM10 juta di mana jumlah keseluruhan adalah RM42 juta, saya sahkan kesemua wang itu telah dihantar daripada akaun IPSB dan dipindahkan kepada akaun-akaun penerima di AmIslamic Bank atas arahan Dr Shamsul.

“Saya difahamkan bahawa pemindahan kesemua wang ini adalah untuk tujuan CSR,” katanya yang turut mengesahkan kedua-dua borang berkenaan yang ditunjukkan kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamaril.

Aishah turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah mendapatkan tandatangan Dr Shamsul dan Pengarah Kewangan IPSB Datuk Abdul Aziz Ismail pada kesemua borang pemindahan berkenaan.

“Saya kemudian telah pergi sendiri ke Affin Bank Cawangan The Curve, Mutiara Damansara untuk menyerahkan borang pemindahan berkenaan untuk diproses dan saya menerima kembali salinan pelanggan.

“Bagi ketiga-tiga borang pemindahan yang saya sediakan dan hantar ke pihak Affin Bank, saya telah menghubungi pihak bank untuk mendapatkan pengesahan proses pemindahan dana telah dilaksanakan.

“Saya sahkan bahawa pihak Affin Bank ada memaklumkan ketiga-tiga proses pemindahan telah lengkap pada 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015,” katanya.

 Aishah juga berkata Dr Shamsul mengarahkannya supaya membuat pemindahan wang berdasarkan maklumat akaun penerima yang diberikan seorang wakil Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling kepadanya (Dr Shamsul) melalui satu e-mel.

Menurut saksi itu, IPSB telah dilantik untuk menjalankan program CSR bagi YR1M sebagai pembiaya program dan diberikan sejumlah wang pembiayaan untuk menganjurkan progran CSR yang diarahkan oleh YR1M.

Aishah, yang berkhidmat selama empat tahun di IPSB turut mengesahkan terdapat kemasukan wang ke dalam akaun Affin Bank bernombor 10-618-000110-8 milik IPSB sebanyak RM50 juta seperti dinyatakan dalam penyata akaun Affin Bank bagi tempoh 1 Jun 2012 hingga 30 Jun 2018. 

Pada 6 Mei lepas, Pengurus Affin Bank cawangan The Curve, Noorhayati Mohd Yunus, 44, mengesahkan wang berjumlah RM42 juta dari akaun IPSB dipindahkan ke dalam dua akaun peribadi milik Najib.

Saksi pendakwaan ke-30 itu berkata wang sebanyak RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Dis 2014, serta RM10 juta pada 10 Feb 2015 dipindahkan dari akaun Affin Bank milik Ihsan Perdana bernombor 106180001108 ke dalam ke dalam dua akaun AmPrivate Banking 1MY dan MY bernombor 2112022011880 dan 2112022011906 milik Najib.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

— BERNAMA  

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.