Individu berkedudukan berpengaruh perlu aktif ajak ummah dalami ilmu agama dan Al-Quran

0
81

SHAH ALAM, 17 Mei — Orang Islam yang berpengaruh dan berkedudukan perlu memainkan peranan dengan lebih aktif dalam mengajak ummah mendalami ilmu agama dan al-Quran, kata Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Katanya golongan itu mempunyai pengaruh yang besar ke atas masyarakat dan perlu dimanfaatkan untuk mengajak umat Islam kembali ke ajaran agama yang sebenar dan membaca al-Quran.

“Umat Islam kini perlu kembali membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya agar kita dapat beramal dengan lebih baik, ilmu-ilmu di dalam al-Quran juga perlu dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita agar kita menjadi seorang insan yang lebih baik,” katanya dalam temu bual sempena program World #QuranHour.

Program World #QuranHour merupakan kempen membaca al-Quran secara serentak selama satu jam pada 30 Mei depan.

Surah Al-Kahfi yang mempunyai pelbagai kisah pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dijadikan surah pilihan bagi program World #QuranHour kali ini.

Tambah Hussamuddin, program berkenaan yang masuk kali keempat dianjurkan pada tahun ini disasarkan untuk menjadi program yang terbesar, sehubungan itu beliau memohon agar individu yang berpengaruh untuk memberikan komitmen yang lebih dalam mengadakan kempen program itu.

“Kita mahu dunia lihat kesamaan di hari berkenaan di mana jutaan umat Islam meluangkan masa selama sejam untuk membaca dan mendalami al-Quran, diharap dengan ini ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai umat Islam untuk meluangkan masa membaca al-Quran,” katanya.

Katanya juga mereka yang berminat untuk turut sama menyertai program World #QuranHour boleh berbuat demikian di mana-mana sahaja tidak hanya terhad di masjid dan di surau.

“Malah mereka yang sedang dalam perjalanan boleh singgah di mana-mana kawasan rehat dan rawat dan kumpul tiga hingga empat orang untuk mengaji bersama-sama selama sejam, tiada wang diperlukan untuk sertai program ini,” katanya.

Program World #QuranHour tahun ini dijadual berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program kali ini turut mendapat kerjasama media cetak dan media elektronik utama negara yang akan bersama-sama mempromosikan program berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.