Masyarakat disaran beralih kepada pengangkutan awam – pakar

0
110

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Op Selamat yang diadakan pada setiap musim perayaan dianggap berjaya mencapai matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya daripada terus meningkat namun pengguna disaran beralih kepada pengangkutan awam yang lebih selamat.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani berkata pada masa sama pengguna jalan raya perlu bekerjasama memastikan angka kematian dikurangkan ke tahap paling rendah.

Beliau berkata pengguna boleh beralih kepada pengangkutan awam sebagai kaedah paling selamat untuk melakukan perjalanan jauh selain mengawal kelajuan kenderaan jika menggunakan kenderaan persendirian.

“Pertama jika mereka dapat berpindah kepada pengangkutan awam adalah lebih baik. Pengangkutan awam memang cukup selamat berbanding pengangkutan persendirian. Kedua, bagi mereka yang menggunakan kereta, kelajuan kenderaan perlu dikurangkan, katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini malam tadi.

Katanya, apabila kelajuan kenderaan dikurangkan, peluang untuk mengawal kenderaan lebih baik lantas kemalangan boleh dikurangkan dan sekiranya ia tetap berlaku, kecederaan dan kadar kematian dapat dikurangkan.

Kulanthayan berkata walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan, pengangkutan awam masih kaedah pengangkutan yang lebih selamat berbanding kenderaan persendirian.

Katanya, menurut statistik, kemalangan membabitkan kenderaan persendirian masih berada pada kedudukan tertinggi.

“Kadar kemalangan maut yang paling tinggi melibatkan motosikal diikuti dengan kereta. Dua kumpulan ini saja sudah mencapai lebih daripada 80% angka kematian. Jadi penunggang motosikal yang paling berisiko tinggi.

Jika dua kumpulan ini dapat kita pindahkan sedikit kepada pengangkutan awam, saya rasa kita dapat menangani isu ini,” tambahnya.

Op Selamat 15 diadakan dalam tempoh 12 hari sempena musim perayaan Aidilfitri sejak ia dilancarkan pada 29 Mei lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.