Oleh Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifkli

BANDAR PERMAISURI, 13 Mei — Proses memasak lemang secara tradisional biasanya mengambil masa sehingga tujuh jam, namun dengan teknologi terbaharu, lemang boleh dinikmati dalam tempoh dua jam sahaja.

Menerusi peralatan khas yang menggunakan besi tahan karat, Che Rimi Hussin, 49, dan isterinya  Norakhadah Yatimi, 46, mampu menghasilkan lebih 3,000 batang lemang sehari.

Alat seperti bekas besar yang boleh memuatkan 13 batang besi berbentuk buluh itu amat mudah digunakan dan lemang akan dimasak menggunakan dapur gas dengan kawalan suhu kepanasan tertentu.

“Jika kita fikir pembuatan lemang secara tradisional memang rumit terutama apabila tersalah adunan yang boleh menyebabkan lemang menjadi keras, tidak masak dan juga terlampau lembik.

“Namun dengan teknologi baharu ini ia bukan sahaja mempunyai sukatan bahan malah mempercepatkan proses pembakaran lemang yang hanya mengambil masa dua hingga tiga jam sahaja,” katanya kepada Bernama.

Pasangan yang mempunyai kedai sendiri di Kampung Nyior Tujuh di sini telah mengusahakan perniagaan lemang sejak 2014 dan lebih istimewa mereka mampu menghasilkan 11 jenis perisa lemang termasuk jagung, kacang, durian, nangka dan mangga.

Che Rimi Hussin mengusahakan Lemang Aneka Rasa bersama isterinya Norakadah Yatimi untuk memasak lemang menggunakan alat pembakar khas yang dibekalkan oleh MARDI di Kampung Rhu 10, Setiu.

Che Rimi berkata proses menyediakan lemang sama sepertimana cara tradisional malah turut diletakkan daun pisang bagi memastikan rasa serta bau asli lemang tidak hilang.

Beliau membeli alat itu menerusi seorang individu dengan kos RM6,800 dan sehingga kini boleh digunakan berikutan mudah dicuci dan dibersihkan meskipun banyak kali digunakan.  

Menceritakan permulaan beliau terlibat dalam mengusahakan perniagaan ‘Lemang Anekarasa’ itu, Che Rimi berkata pada awalnya resepi mereka tidak mendapat sambutan positif daripada kalangan pelanggan dan penggemar lemang.

Beliau pernah dimarahi pelanggan apabila lemang yang dibeli tidak menepati citarasa namun ia tidak mematahkan semangat Che Rimi untuk terus membaiki kelemahan pada produk jualannya.

“Setiap kali mencuba resipi lemang baharu saya akan memberikan lemang itu kepada orang ramai secara percuma dan ianya berterusan selama setahun untuk mereka cuba dan beri pendapat untuk saya baiki kelemahan dalam menghasilkan produk saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Norakhadah berkata kesemua lemang dipasarkan dengan harga serendah RM4 hingga RM70 mengikut jenis lemang dan saiz yang dipilih. Ini kerana harga yang diletakkan itu bergantung kepada harga semasa bahan yang digunakan.

 “Contohnya untuk menghasilkan lemang durian, kami akan menggunakan durian Musang King kerana isi buah itu yang berkualiti tinggi dan harganya mencecah RM30 ke atas untuk satu kilogram. Disebabkan itu harga lemang durian lebih mahal berbanding lemang yang lain dan ianya hanya dibuat mengikut musim sahaja,” katanya.

Menurut Norakhadah, kini perniagaan yang diusahakan bersama suaminya itu telah mula mempunyai pelanggan tetap tanpa mengira lapisan umur dan ada juga yang datang dari pelbagai negeri, selain menerima tempahan tiap kali tiba musim perayaan mahupun musim kenduri,

Beliau dan suaminya rela berkorban masa rehat demi menyiapkan tempahan pelanggan yang boleh mencecah 3,000 batang sehari dan jumlah itu kadangkala meningkat mengikut tempahan yang diterima.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.