Basikal lajak: Jangan jadi jaguh yang sia-sia

0
88

Laporan eksklusif oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA TERENGGANU, 6 Nov — “Jangan jadi jaguh yang sia-sia. Berlumba dengan basikal lajak yang tiada brek bagai sengaja menempah maut,” kata pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh.

Beliau yang mengakui pernah terlibat dalam aktiviti merbahaya itu sebelum menjadi pelumba bertaraf antarabangsa sebenarnya mempunyai kenangan pahit kerana ada di antara rakannya meninggal dunia ketika asyik berlumba hingga berlanggar dengan kereta.

Lebih memeritkan, ketika kejadian itu rakannya baru berusia 14 tahun, malah beliau sendiri pernah mengalami kecederaan hingga patah kaki dan tangan pada usia yang muda.

Mohd Harrif, 31, berkata pada sekitar 1998, Terengganu terkenal dengan perlumbaan basikal di kalangan kanak-kanak dan remaja tetapi ketika itu ia dipanggil ‘geng basikal nyamuk’.

“Basikal ini tiada brek, tiada lampu dan diubah suai supaya mempunyai kelajuan luar biasa. Saya mungkin bernasib baik kerana tidak terjebak terlalu lama dan pernah rasa bersalah kepada ibu yang tidak lena tidur memikirkan anak yang tidak pulang meskipun telah awal pagi.

“Kebiasaan kami akan berlumba pada setiap malam Jumaat, bermula pukul 12 tengah malam. Masa tu lebih 150 orang boleh dikumpul dalam satu-satu masa. Ramai kanak-kanak dari merata ceruk kampung akan keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Harrif, yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dan kini menjadi pakar pecut dalam pasukan TSG berkata kawasan yang menjadi tumpuan ketika itu ialah sekitar Jalan Kamaruddin dan Batu Buruk, Kuala Terengganu, malah perlumbaan dilakukan dalam keadaan gelap dicelah-celah kesibukan jalan raya.

Ketika ditanya bagaimana beliau akhirnya meninggalkan ‘geng basikal nyamuk’ tersebut, Mohd Harrif berkata ia berlaku secara tidak sengaja apabila bakatnya dilihat oleh beberapa individu yang bertanggungjawap menjejak pelumba-pelumba basikal untuk diasah menjadi profesional.

Pada usia 14 tahun, beliau dipilih menyertai beberapa pertandingan ‘halal’ yang dikawal selia oleh Persatuan Berbasikal Terengganu dan diberi kepercayaan hingga mampu mewakili negeri serta negara.

Menurutnya, meskipun ramai bakat dicungkil daripada aktiviti merbahaya itu tetapi ia bukanlah perkara yang baik jika tidak dikawal kerana jiwa kanak-kanak tidak memikirkan musibah selain keseronokkan dan memenuhi cabaran kawan-kawan.

“Saya bersetuju apabila pihak polis membenteras aktiviti geng basikal lajak ini terutama di lebuh raya. Tetapi lebih elok sekiranya ada pihak yang ingin membantu kanak-kanak ini ke arah yang betul kerana mereka sebenarnya perlukan bimbingan.

“Jika betul caranya, mereka juga mampu menjadi pelumba profesional. Terengganu mampu menjadi contoh atas kesungguhan pihak berkuasa mengawal. Sebelum inipun, ketika saya kanak-kanak…pihak polis giat melakukan rondaan sampai basikal saya pun pernah ‘diangkut’ sama,” katanya yang mula terjebak pada usia 12 tahun.

Tambah Mohd Harrif, komuniti setempat di negeri itu juga memainkan peranan dalam menghalang akiviti itu berterusan terutama ketua kampung dan ketika era ‘geng basikal nyamuk’, guru-guru bekerjasama dengan pihak polis dalam memberi nasihat kepada mereka yang terlibat.

Mengikut rekod yang dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada Isnin, Terengganu tidak tersenarai dalam lokasi yang dijadikan litar basikal lajak.

Setakat ini 26 lokasi tumpuan dijadikan litar basikal lajak dikenalpasti iaitu membabitkan lapan negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Johor, Kelantan dan Sabah.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.