Cukuplah politik Lynas – Penduduk

0
135

KUANTAN, 8 Ogos — Penduduk di sekitar kawasan Gebeng memohon supaya isu berkaitan kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) ditamatkan dan tidak lagi dijadikan modal politik. 

Mereka berkata sudah muak kerana isu tersebut dijadikan modal politik berpanjangan sedangkan selaku penduduk tempatan, mereka melihat sendiri perkembangan kilang yang berasal dari Australia itu. 

Tok Ampat Sungai Ular, Shamsul Azlin Abdul Wahid, 48,  berkata Lynas yang melaksanakan operasi di bawah seliaan pelbagai agensi berwajib dan undang-undang, juga adalah seperti kilang lain yang beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng. 

“Kami pada mulanya banyak juga menerima pelbagai berita mengenai Lynas, namun kami berlapang dada, pergi mendengar penerangan daripada pihak Lynas yang mengambil inisiatif bertemu penduduk kampung sejak mereka belum beroperasi. 

“Mereka memberi penerangan dan mendengar keresahan kami. Malah mereka juga meminta pandangan kami beberapa kali. Walaupun sering dipolitikkan, mereka tetap datang sehingga kini bagi mengambil tahu tentang keselamatan kami selaku penduduk berhampiran,” katanya. 

Shamsul Azlin berkata mereka juga mengambil peluang untuk mendengar penerangan daripada pakar pelbagai bidang setiap kali perjumpaan seumpamanya diadakan. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Ceramah Perdana dan Solat Hajat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini semalam, yang dihadiri ribuan jemaah.

Beliau berkata seperti juga kilang lain, kewujudan Lynas membawa kebaikan sosioekonomi di kawasan berdekatan, malah ramai penduduk kampung mendapat peluang pekerjaan di situ termasuk ada yang bergelar jurutera. 

“Lynas juga banyak membantu dalam tanggungjawab korporat sosial mereka di kampung kami seperti memberi bantuan awal persekolahan anak dan bantuan menjelang hari raya. 

“Tidak dinafikan pada awalnya ada juga rasa sangsi bila mendengar pelbagai berita, namun selepas bertahun-tahun Lynas beroperasi, kami lihat apa yang diperkatakan tidak tepat. Kilang itu sama sahaja seperti kilang lain,” katanya. 

Shamsul Azlin menambah setakat ini, tiada kedengaran kisah kesihatan penduduk terjejas akibat radiasi daripada kilang itu, dan berpandangan jika benar kilang itu begitu bahaya, sudah pasti pekerjanya yang pertama akan terkesan.

Sementara itu, Tok Ampat Balok, Mansor Mokhtar berkata dakwaan Lynas menjejaskan alam sekitar juga tidak benar kerana penduduk di Balok yang kebanyakannya bergelar nelayan tidak melihat kejadian itu berlaku. 

“Kami tidak melihat sungai berubah warna disebabkan air daripada Lynas atau mendengar cerita ikan mati disebabkan radiasi…lagipun sukar untuk kami terima kilang yang dikawal rapi operasinya membuang air kumbahan tidak selamat sesuka hati hingga menimbulkan masalah alam sekitar,” katanya. 

Mansor menambah beliau juga tidak selesa apabila isu itu terus berpanjangan termasuk mendakwa ada yang mengeluarkan komen di laman sosial mendakwa mereka adalah penduduk Balok yang terjejas akibat Lynas. 

Sedangkan, beliau sendiri tidak mengenali individu yang mengeluarkan komen tersebut dan rata-rata penduduk yang ditanya, mengakui tidak selesa dengan perbuatan sedemikian.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.