FAM didakwa ambil langkah merugikan

0
181

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan latihan pusat skuad Bawah 15 tahun (B-15) kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil baru-baru ini, dilihat merugikan.

Daripada 30 pemain dipanggil ketua jurulatih B-15 kebangsaan, P. Maniam bagi menjalani latihan pusat selama seminggu bermula 22 Jun lepas sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 September depan, hanya enam pelatih bukan berpangkalan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang. 

Sumber Bernama, individu yang pernah menguruskan AMD dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berkata keputusan FAM itu sudah pasti memerlukan kos perbelanjaan besar selain ia juga secara tidak langsung merencatkan proses pembelajaran dalam kelas barisan pelatih berkenaan.

Di AMD, beliau berkata pelatih tidak perlu memohon pelepasan kelas sekiranya kem latihan itu diadakan di akademi berkenaan, dan adalah agak mustahil untuk proses pembelajaran tersebut dijalankan sekiranya pasukan menjalani kem latihan di luar.

“Paling penting, tidak perlu minta pelepasan kelas walaupun mereka berlatih di sebelah petang, dan mungkin sekejap di sebelah pagi. Kalau di AMD, pembelajaran itu masih berjalan seperti biasa. Tapi kalau mereka keluar walaupun ke Kuala Lumpur pasti pembelajaran terhenti, rugilah.

“Katakan mereka tinggal di Casa (asrama atlet di MSN) tidak ada kelas yang boleh menampung kumpulan (pasukan) itu sebab terlalu besar melainkan ada perancangan teliti tapi setahu saya memang tak boleh buka kelas baharu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“…dan proses pembelajaran lebih mudah buat enam pelatih luar sebagai contoh dari SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan JDT B-15 kalau mereka pergi ke Gambang sebab kumpulannya kecil jadi mereka boleh masuk belajar sekali dalam kelas pelatih AMD. Itu lebih mudah,” katanya.

Menyentuh mengenai kos perbelanjaan pula, beliau berkata sejumlah penjimatan dapat dilakukan jika kem latihan tersebut yang turut melibatkan dua aksi persahabatan menentang skuad B-15 Singapura diadakan di Gambang berbanding di MSN.

“Biasanya kem latihan pasukan kebangsaan ada elaun untuk pemain dan pegawai setiap hari. Sebelum ini ia tidak diamalkan kerana elaun itu pun ada penjimatan yang banyak.

“Perbezaan kos yang banyak jika pasukan keluar berlatih dari AMD… sudah semestinya ada kos melibatkan pengangkutan, makanan dan asrama. Walaupun duduk di MSN, masih memerlukan kos dan jika latihan diadakan di AMD, kita tidak perlu keluar perbelanjaan tersebut,” tambahnya.

Sumber itu menegaskan kelebihan mengadakan kem latihan dan aksi persahabatan di AMD lebih banyak berbanding di MSN.

Beliau berkata badan induk bola sepak negara itu sepatutnya memperkasa AMD dengan menjemput dan memberi peluang buat skuad B-15 Singapura untuk menetap di situ selain menguji padang berkualiti tinggi dalam dua aksi persahabatan.

Menurut sumber itu, kesemua 10 padang di AMD mempunyai kualiti jauh lebih baik berbanding sesetengah stadium di Malaysia.

 Ketika diajukan persoalan itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun, menjelaskan tujuan kem latihan di MSN itu adalah untuk menyuntik kelainan dari segi suasana selain memberi lebih motivasi kepada pelatih untuk menjalani latihan.

“Saya kira pasukan ini tidak ada masalah untuk berlatih di sana (MSN). Kemungkinan jurulatih nak membawa pemain ‘tukar angin’ sikit untuk aksi persahabatan menentang Singapura,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai rekod, AMD dirasmikan pada 2014 melibatkan peruntukan RM85 juta dengan objektif membawa dimensi baharu dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.