PUTRAJAYA, 7 Dis -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima jersi pasukan kebangsaan Harimau Malaya daripada Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Ali pada majlis perjumpaan pemain bolasepak skuad kebangsaan bersama Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini. Skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan Vietnam dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil pada 11 Dis ini dan perlawanan timbal balik di Vietnam pada 15 Dis. --fotoBERNAMA (HAK CIPTA) TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkongsi misi dan visi mengenai hala tuju bola sepak negara ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Isnin.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pada pertemuan berlangsung lebih 30 minit itu, beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai perancangan membina ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan yang lengkap di Presint 5, Putrajaya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM serta perancangan membina ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan yang dilengkapi tiga padang latihan, termasuk satu dalam dewan.

“Kami mengharapkan impian ini menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam entri terkini yang dimuat naik di laman Facebook rasmi FAM.

Ketika ini, FAM berada di peringkat akhir rundingan dengan pemaju untuk membangunkan ibu pejabat baharu badan induk itu di Presint 5, Putrajaya.

Bangunan asal FAM di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), tidak jauh dari Stadium Merdeka, dibina setinggi enam tingkat dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada Disember 1961, sebelum badan induk bola sepak kebangsaan itu berpindah ke pejabat sedia ada di Wisma FAM setinggi empat tingkat di Kelana Jaya bernilai RM1.85 juta pada 1979.

Dalam kunjungan yang disertai Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalinggan itu, Hamidin turut membentangkan pelan hala tuju jangka panjang FAM yang terkandung dalam F:30.

Beliau turut mengemas kini maklumat kepada Dr Mahathir susulan perjanjian persefahaman (MoU) antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang ditandatangani pada 5 April lepas.

“Saya bagi pihak FAM mempelawa wakil pejabat Perdana Menteri untuk menyertai rombongan FAM ke Jepun, pada satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya.

Bulan lepas, Hamidin membawa Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden JFA Kohzo Tashima, untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir sebelum menandatangani MoU dengan Tashima.

–BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.