Hala tuju Piagam Muafakat Nasional masih samar – penganalisis politik

0
190

Oleh Mohd Faizal Hassan

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Piagam Muafakat Nasional, perjanjian kerjasama politik yang dimeterai UMNO-PAS Sabtu lepas, membuka satu lagi episod baharu dalam agenda politik negara, yang pastinya mengundang pelbagai reaksi dari kalangan pemerhati politik yang benar-benar berminat untuk mengetahui halatujunya.

Ada yang berpendapat ia bakal menjadi satu lagi retorik politik jika intipati dan pelaksanaannya tidak dijelaskan dengan baik dan tepat; bukan sahaja kepada khalayak yang hadir sewaktu majlis berlangsung, tetapi juga kepada masyarakat umum yang pastinya ingin tahu manfaat dan kebaikan yang boleh diharapkan daripada piagam itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata beliau melihat akan wujud dilema pasca piagam itu memandangkan ia menitikberatkan isu-isu yang berkaitan dengan kaum, Raja dan Perlembagaan.

“Ia mungkin berdepan dengan cabaran dalam meyakinkan sokongan pengundi muda, kelas pertengahan selain cabaran mendapatkan sokongan dari Sabah dan Sarawak dalam mengambil kira faktor agama, kaum dan kelas masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Perjanjian kerjasama politik yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional itu dimeterai oleh Parti Umno dan PAS sempena Himpunan Penyatuan Ummah, yang disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari Sabtu lepas.

Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.

Ia bakal memperincikan jawatankuasa berkaitan yang akan melaksana dan merealisasikan kerjasama pada peringkat pusat, negeri sehingga peringkat akar umbi selain satu tata kelola kerja bagaimana kedua-dua parti bergerak daripada sekarang hingga ke pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, geostrategis yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan menyifatkan piagam itu seakan menyerupai konsep Malaysia Baharu atau prinsip Rukun Negara.

Tegasnya, muafakat itu dilihat tercetus berikutan persepsi Malaysia Baharu dibawa Pakatan Harapan (PH) yang kononnya telah mengetepikan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.

“UMNO dan PAS sebagai parti politik telah ‘mencuri peluang’ yang terbuka luas dengan persepsi tidak baik terhadap PH,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata isi piagam berkenaan ‘ringkas’ dan perlu huraian yang lebih jelas kerana ia melibatkan soal agama, kaum, hal Melayu, kedudukan rakyat dan Perlembagaan.

“Ia tidak diulas dengan baik untuk meyakinkan rakyat. Malah hala tuju kerjasama UMNO-PAS sendiri belum jelas. Piagam ini tidak boleh menjadi retorik politik atau akan ditolak semasa pilihan raya umum kelak,” katanya.

Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpendapat piagam itu dilihat akan menjadi cabaran kepada kerajaan PH untuk “walk the talk” dan seterusnya berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan isu berbangkit daripada manifesto yang dijanjikan sebelum ini.

“Ia juga satu cabaran kepada kerajaan sekarang untuk sama-sama memastikan isu sensitif ditangani dengan lebih berhati-hati untuk kepentingan semua,” jelasnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.