Ibu bapa perlu kawal penggunaan telefon pintar anak-anak – Dr Wan Azizah

0
138

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Ibu bapa perlu memantau dan mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan unsur negatif termasuk bahan lucah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Merujuk kepada kes murid berusia 12 tahun direman semalam, setelah disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh ibunya di Batu Gajah, Perak, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kebanyakan kes kerosakan akhlak berpunca daripada pengaruh Internet.  

“Yang dikatakan pelaku itu adalah kanak-kanak di bawah umur. Pengaruh kebanyakan kes adalah Internet, tengok ‘soft porn’.

“Kalau boleh perlu ada ‘parental guidance’ (bimbingan ibu bapa), jika mahu beri ‘smartphone’ (telefon pintar) kepada anak-anak, janganlah tanpa ada ‘parental control’ (kawalan ibu bapa),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dilaporkan, murid lelaki Tahun Enam itu melakukan perbuatan berkenaan selepas terpengaruh dengan video yang dilihat melalui telefon bimbit.

Ibu murid berkenaan mengasuh lapan kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun dan mangsa dijaga pengasuh sejak Oktober 2017.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.