Inkues Adib: Masyarakat diingat tidak politikkan keputusan Mahkamah Koroner – Zuraida

0
181

SHAH ALAM, 27 Sept — Masyarakat diingatkan supaya tidak mempolitikkan atau memainkan sentimen perkauman dan agama berhubung keputusan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim oleh Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana isu yang diadili oleh mahkamah berkenaan adalah mengenai seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas.

Beliau yang turut menzahirkan rasa puas hati terhadap keputusan mahkamah itu berkata kementerian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menggunakan seluas-luasnya saluran yang ada untuk memastikan kes kematian Muhammad Adib diadili sebaik-baiknya.

“Saya amat bersyukur dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini (dalam menentukan punca kematian Muhammad Adib) setelah prosiding inkues diadakan selama kira-kira tiga bulan.

“Saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Saya berharap rakyat Malaysia dapat menerima keputusan ini dengan baik dan pembunuh sebenar Muhammad Adib dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini.

Mengulas mengenai keluarga Muhammad Adib, Zuraida berkata beliau akan berjumpa dengan mereka khususnya bapa anggota bomba itu, Mohd Kassim Abdul Hamid yang dijangka tiba di Kuala Lumpur dari Kedah, malam ini.

Beliau berkata pihaknya diberitahu bahawa keluarga Muhammad Adib telah dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu dan turut menzahirkan kesyukuran kerana akhirnya, punca kematian anggota bomba itu dapat ditentukan dengan adil.

Terdahulu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Mahamariamman USJ 25, Subang Jaya dekat aini pada 27 Nov lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

“Kecederaan ‘blunt chest trauma’ yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu,” katanya.

Muhammad Adib yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.