Integriti perisai cegah rasuah, salah guna kuasa

0
94

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Perangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah antara perkara utama yang menjadi fokus Malaysia Baharu sebagai sebahagian daripada usaha membaik pulih imej negara yang sebelum ini terpalit dengan gelaran kleptokrasi. 

Memetik ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-73 di New York pada September 2018, “Malaysia Baharu adalah respons daripada rakyat yang mahukan kerajaan baharu bagi menghapuskan politik kebencian, ketaksuban perkauman dan agama serta rasuah yang berleluasa.”

Perdana Menteri turut berkata, rakyat mahukan Malaysia Baharu pimpinan Pakatan Harapan usai Pilihan Raya Umum ke-14, mengamalkan dasar keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. 

BANTERAS RASUAH

Antara langkah awal kerajaan dalam menterjemah hasrat Malaysia Baharu ialah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang bertujuan menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

Berkongsi pandangan, Timbalan Ketua Pengarah GIACC Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata Malaysia Baharu pastinya diharap menjadikan negara ini lebih baik daripada sebelum ini.

“Apabila orang bercakap mengenai Malaysia Baharu, apa yang mereka maksudkan? Adakah Malaysia sebelum ini tidak baik? Kita ada sejarah sejak Merdeka di mana Malaysia amat dihormati dan dikenali diperingkat dunia kerana kejayaannya.

“Cuma beberapa tahun sebelum ini pandangan orang luar melihat Malaysia seolah-olah sebuah negara kleptokrat. Kadang-kadang disebabkan persepsi itu kita nak mengaku dari Malaysia pun malu. Kita nak Malaysia dikenali bukan sebab rasuah sebaliknya kejayaan dan pencapaian seperti sebelum-sebelum ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

GIACC turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR), dengan ​​JKKMAR bertindak untuk menyelaras pelaksanaan pemantauan dan penilaian keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Sehingga kini hampir 100 inisiatif diluluskan melalui GIACC. Itu tidak termasuk perkara yang terkandung dalam 115 inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP). Pelbagai agenda membanteras rasuah digerakkan serta  diambil tindakan di samping kajian demi kajian turut dijalankan bagi mengenal pasti punca masalah sebenar.

“Dalam tahun pertama ini, alhamdulillah kita berjaya mencapai banyak perkara dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masa yang singkat. Ia boleh dilihat melalui beberapa siri tangkapan dan pertuduhan di mahkamah yang melibatkan pelbagai peringkat jawatan,” tambahnya.  

MASALAH INDIVIDU 

Menyentuh mengenai Pelan Integriti Nasional yang diperkenal sejak 2004 yang bertujuan menanam dan memupuk budaya etika dan integriti dalam kalangan semua lapisan masyarakat, beliau berkata pendekatan baharu yang lebih relevan perlu dilaksanakan berbanding usaha pemupukan budaya itu.  

“Kita perlu lihat pada situasi semasa. Jika keadaan semakin serius di mana salah guna kuasa dan rasuah membarah, adakah memadai jika kita kata nak terus berpegang pada kaedah memupuk budaya integriti kepada mereka yang terlibat? 

“Jadi pendekatan yang kita ambil hari ini ialah terus fokus kepada masalah sebenar dan ‘menghapuskan’ punca masalah. Analoginya jika seseorang menghidap kencing manis tahap kronik, masalah gangrene dan sebagainya, adakah kita boleh bagi nasihat sama seperti mereka yang berisiko menghidap kencing manis sebagai contoh jaga pemakanan dan sebagainya. Dah terlambat dan pasti pendekatan juga berbeza,” katanya. 

Walaupun ada pihak berpendapat kaedah itu terlalu ‘keras’ namun katanya sudah sampai masa kerajaan bertindak lebih tegas dalam menangani isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. 

“Sebelum ini kita mengambil jalan keluar dengan memindahkan mereka yang terlibat, tetapi itu sebenarnya tidak membantu menyelesaikan masalah kerana khuatir mereka akan mengulangi tabiat lama (rasuah) di tempat lain,” katanya.

Turut berkongsi data yang diperolehi dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anis Yusal berkata lebih 60 peratus kes rasuah melibatkan perkhidmatan awam dengan hampir 42 peratus berlaku dalam bidang perolehan awam.

“Sebab itu kita letak fokus kepada perkhidmatan awam dahulu. Dalam bidang perolehan awam contohnya orang mudah buat penipuan, curi duit dengan cara menipu, ubah dan menaikkan harga. Laporan audit pun setiap tahun merekodkan perkara yang hampir sama. 

“Ini bagaimanapun tidak bermakna bukan penjawat awam tidak terlibat rasuah. Harus difikirkan, jika 60 peratus kes melibatkan penjawat awam menerima rasuah, maka akan ada jumlah yang sama yang memberi rasuah,” katanya. 

Menambah isu itu mungkin boleh tangani dengan pembaharuan sistem, prosedur dan mekanisme yang baharu namun apa yang lebih utama katanya ialah sikap dan jati diri seseorang individu dalam mengamalkan integriti.

“Yang buat onar ialah orang, sistem kita boleh perbaiki tapi jika orang kita tak betulkan, bagaimana?,” soalnya.  

ISYTIHAR HARTA 

Mengakui bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengubah perkara yang sebelum ini menjadi budaya, beliau berkata usaha berterusan perlu dijalankan meskipun ia memakan tempoh masa yang lama untuk melihat perubahan. 

“Apa yang kita buat ni sebab nak ubah cara. Sekarang dah Malaysia Baharu, tak kan masih nak buat perkara yang dulu, biarlah semua urusan dijalankan dengan lebih sistematik, mengikut prosedur yang betul beserta bukti yang sah. Bukan lagi atas kapasiti kuasa dan pangkat seseorang.

“Jika kita berjaya menangani isu rasuah dan integriti, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik daripada sekarang namun semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Berhubung langkah kerajaan untuk mewajibkan semua anggota parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing, beliau berkata usaha itu mampu menyumbang dalam pencegahan rasuah dan salah guna kuasa. 

Meskipun ada pihak yang mempersoalkan kewajaran inisiatif itu dengan membangkitkan isu tidak mempunyai pangkat yang tinggi, bimbang dianggap bermegah-megah dan mengundang risiko jenayah, status sebagai anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat, berpengaruh dan mudah mempengaruhi sesiapa menjadikan ia suatu keperluan.

“Kita nak tahu bermula dari tempoh seseorang memegang jawatan sehinggalah ke suatu waktu yang kita perlu nilai, berapa banyak harta kekayaan yang telah dibina. Sebab kita khuatir kalau orang pegang jawatan tinggi, ada pengaruh, kalau dia tak boleh isytihar harta, ada kemungkinan dia menyembunyikan kekayaan yang dibuat melalui sumber tak betul.

“Tiada masalah jika mereka boleh menyenaraikan semua sumber pendapatan. Langkah ini pada masa sama ​​​​membantu rakyat menilai ketelusan pemimpin adakah mereka mengambil kesempatan sewaktu berkuasa untuk kepentingan peribadi atau tulus berkhidmat untuk masyarakat,” katanya ​​​​sambil menambah mengenai usaha mewujudkan undang-undang untuk mensabitkan kesalahan bagi mereka yang gagal mengisytihar harta. 

MASALAH AKAR UMBI

Mengambil beberapa contoh kes yang berlaku sebelum ini, Anis Yusal berkata sesiapa sahaja boleh jadi ‘gelap mata’ dengan wang ringgit, kuasa dan pangkat tanpa mengira latar belakang.

Antara yang pernah menarik perhatian seluruh negara ialah kes melibatkan bekas pengarah dan bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016, dengan penemuan wang tunai berjumlah ratusan juta ringgit selain barang kemas dan geran tanah.  

“Ini sebenarnya ‘penyakit’. Bagaimana boleh simpan dan sorok duit begitu banyak di rumah dan pejabat tanpa rasa bersalah. Mereka tak memikirkan implikasi hasil daripada perbuatan itu. Mereka ada ‘sakit’ dan ketagih untuk buat perkara sama (salah guna kuasa) berulang kali sehingga boleh menghimpun nilai kemewahan yang tak masuk dek akal.

“Berapa ramai dalam masyarakat kita sekarang yang ‘ketagih’ nak buat benda jahat. Jadi kita perlu kenal pasti punca masalahnya dari akar umbi supaya kita boleh rawat dengan kaedah yang sepatutnya.

“Jika kita mampu membendung gejala rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai kesalahan melibatkan integriti, tidak mustahil kita akan menjadi sebuah negara yang dihormati, disanjungi bahkan sebagai pusat rujukan kerana kita ada ‘resipinya’,” katanya.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.