Kejadian diserang hendap komunis buat Ahmad sebak setiap kali terkenang

0
126

PONTIAN, 29 Ogos — Air matanya menitis, setiap kali mengimbas kembali kejadian diserang hendap komunis, yang mengorbankan lima rakannya, di Kuching, Sarawak, 48 tahun yang lalu.

Bekas pesara askar, Staff Sarjan Ahmad Ibrahim, 72, ketika itu beliau bertugas dalam Kor Perubatan di Kem Biawak, Sematan, Kuching.

“Saya ingat masa tu hari Jumaat, dan kami tujuh orang dalam perjalanan pulang dari hospital. Cuaca mula-mula baik tiba-tiba hujan panas. Dalam hati terdetik, kalau tiba-tiba ada hujan panas, akan ada benda yang tidak baik berlaku,” kata beliau kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Ternyata firasatnya menjadi kenyataan bila tidak lama dari itu, mereka diserang hendap oleh sekumpulan komunis, yang bersembunyi di hutan di laluan yang mereka sedang lalui untuk ke Sematan, kira-kira 60 batu dari Kuching.

“Saya duduk bersebelahan dengan pemandu sebab saya baik dengannya. Dia orang pertama yang pergi dulu akibat tembakan dari komunis,” tambahnya sambil mengesat air matanya.

Sesi temuramah turut terhenti beberapa kali, ketika Ahmad menjadi sayu, setiap kali ditanya mengenai butir-butir kejadian tragis itu.

Meskipun ditembak dua das di kaki dan di belakang badan, dirinya terselamat dari dibunuh, kerana komunis menganggap dia sudah meninggal.

“Tak lama lepas tu, helikopter datang dan membawa saya ke Hospital Kuching. Di hospital berkenaan, saya dirawat selama tiga bulan sehingga sembuh,” katanya yang telah bersara pada tahun 1983.

Selain Ahmad, turut terselamat dari kejadian tersebut ialah rakannya yang dikenali sebagai Mansur.

“Saya tahu berita mengenai kawan-kawan yang gugur, dari rakan-rakan yang datang menziarahi saya. Pakcik anggap ini ujian Allah. Allah nak uji awak tu, jadi saya berpegang pada tu. (Tapi)…saya sampai bila-bila tidak akan lupa (pengorbanan kawan-kawan dan kejadian itu),” katanya sambil menahan sebak ketika terkenangkan kejadian pada Mac, 1971 itu.

Menurutnya, setiap kali solat, dia sentiasa mengingati dan mendoakan kelima-lima arwah rakan-rakannya yang kesemuanya dari Semenanjung Malaysia itu.

“Kalau boleh, saya nak cari kawan saya yang terselamat dalam kejadian itu. Dia dari Kuala Lumpur. Kalau dapat, saya nak jumpa dia balik,” katanya.

Warga emas itu turut menasihati generasi muda, supaya menyertai badan beruniform seperti polis dan tentera, supaya dapat menyumbang jasa kepada negara. 

“Kerajaan sentiasa bantu pesara seperti kami. Pakcik yang kini terpaksa jalani rawatan dialisis, dapat perkhidmatan kesihatan percuma jadi pakcik rasa bersyukur,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.