Kerajaan ambil langkah proaktif papar ketelusan urus kewangan negara – Lim

0
98

KUALA LUMPUR, 15 Okt —  Kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memaparkan ketelusannya dalam menguruskan kewangan negara, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah pelaksanaan perakaunan akruan, penubuhan Jawatankuasa Kewangan Awam serta pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Sistem perakaunan tunai tidak memberikan gambaran yang sebenar dan saksama berkenaan penyata kewangan pihak kerajaan terdahulu manakala penubuhan jawatankuasa kewangan awam adalah bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan secara berhemah.

“Ketelusan jawatankuasa ini memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa pihak kerajaan tidak sewenang- wenangnya meminjam atau menggunakan wang rakyat secara suka hati,” katanya dalam ucapan beliau semasa merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan, di sini, hari ini.

Lim berkata, kerajaan juga turut memperuntukkan perbelanjaan luar biasa sebanyak RM19.4 bilion bagi membayar balik SST dan RM18.436 bilion bagi cukai pendapatan kepada rakyat.

Menurutnya, sehingga 30 September 2019, sejumlah RM13.6 bilion telah dibayar balik kepada pembayar cukai.

“Bagi mereka yang telah menerima bayaran balik ini, kita berharap rakyat menghargai tindakan kerajaan dan sedar bahawa kerajaan hari ini bukan hanya bercakap kosong tetapi bercakap benar dan melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, selain penubuhan Jawatankuasa Kewangan Awam, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) juga ditubuhkan bagi membantu kerajaan merapatkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan percukaian agar kutipan hasil selari pertumbuhan ekonomi.

“TRC juga melihat kembali insentif cukai yang diberikan selama ini sehingga menyebabkan kehilangan cukai kepada negara terutamanya dalam kalangan syarikat besar yang beroperasi untuk mengambil kesempatan daripada insentif dan mendapat pelepasan cukai,” katanya.

Lim berkata, menerusi belanjawan kali pertama tahun lalu, kerajaan telah melakukan konsolidasi fiskal dengan menyemak semula defisit fiskal sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi meningkatkan daya saing dan kesejahteraan rakyat.

“Semasa pembentangan Belanjawan tahun lalu, Kerajaan telah mengumumkan sasaran defisit 3 peratus bagi tahun 2020.

“Bagaimanapun, berikutan peningkatan risiko kelembapan ekonomi dunia dan perbelanjaan luar jangka untuk menyelamatkan institusi bermasalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, memerlukan langkah tindakan fiskal awal,” katanya.

Menurutnya, kerajaan kini menyasarkan defisit sebanyak 3.2 peratus pada 2020.

“Kerajaan menjangkakan defisit fiskal akan menguncup secara purata kepada 2.8 peratus KDNK dalam jangka masa sederhana,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.