Ketua Pengarang Bernama, Zakaria bersara selepas 39 tahun berkhidmat

0
150

Oleh Mohd Faizal Hassan

KUALA LUMPUR, 21 Jun : Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab hari ini bersara dari agensi pertubuhan berita negara itu setelah berkhidmat selama 39 tahun. 

Lebih mesra dikenali sebagai Zack, anak kelahiran Batu Gajah Perak, yang berumur 62 tahun itu, mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1 Julai 1980 selepas menamatkan pengajian dalam bidang kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Zakaria bermula sebagai pemberita kadet dan meniti dari satu jawatan ke satu jawatan hingga pernah dilantik sebagai Ketua Biro Pulau Pinang dan Sarawak, Pengarah Eksekutif BESSAR (anak syarikat Bernama), Pewarta Singapura, Timbalan Ketua Pengarang Ekonomi dan Berita Dalam Negeri sehinggalah dilantik menjadi Ketua Pengarang pada 2014.

“Bagi saya, perkhidmatan selama 39 tahun itu merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan dan memberi satu kepuasan dalam hidup dan kerjaya saya sebagai wartawan.

“Pengalaman yang saya dapat sebagai wartawan selama ini sukar dihitung nilainya. Kita sebagai wartawan bukan sekadar pelapor semata-mata tetapi juga pencatat sejarah negara yang nanti akan dinilai oleh anak cucu kita, “ katanya sewaktu ditemuramah.

Sewaktu bertugas di Bernama, Zakaria pernah dipinjamkan ke pejabat Perdana Menteri untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri keempat ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sewaktu memegang jawatan ini, saya melihat bagaimana negara menghadapi beberapa cabaran  besar seperti krisis ekonomi, kejatuhan nilai ringgit dan reformasi berkaitan pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun saya dipinjamkan dari Bernama, saya masih anggap saya wartawan. Saya lihat apa yang berlaku ketika itu sebagai tempoh kritikal dalam politik tanah air. Saya lihat bagaimana Dr Mahathir mengatasi cabaran itu dengan stailnya,” katanya.

Zakaria berkata pengalaman bekerja dengan Dr Mahathir itu mengajarnya untuk menjadi lebih berdisiplin dari segi masa dan keterampilan selain bijak menguruskan situasi dengan membuat keputusan ketika berhadapan dengan media sepanjang tugasannya sebagai Setiausaha Akhbar.

Ditanya pengalaman peribadi yang tidak dapat dilupakan sebagai Setiausaha Akhbar, Zakaria berkata pastinya pengalaman itu ialah apabila beliau mengarang sebuah sajak khas bertajuk ‘Melayu Mudah Lupa’ untuk dibacakan oleh Dr Mahathir semasa penutup Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2001.

Beliau tidak menyangka, sajak itu memberi impak yang besar bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada Dr Mahathir sendiri yang sebak membacanya.

Sajak itu kemudian menjadi bahan bicara baik bagi tujuan politik mahupun menganalisa nasib orang Melayu dari sejak itu hingga ke hari ini.

Menyentuh mengenai tugasan Ketua Pengarang bermula pada 2014, Zakaria berkata Bernama masih mempunyai peranan besar dalam membantu kerajaan menyalurkan maklumat yang lengkap dan tepat kepada rakyat dan begitu juga sebaliknya supaya kedua-dua pihak dapat saling bekerjasama dan membangunkan negara.

Katanya, Bernama hari ini tidak lagi dlihat sebagai penyalur maklumat  atau orang tengah semata-mata tetapi juga pendahulu dan pesaing dalam penyampaian berita berbanding dengan media lain.

“Saya rasa bertuah kerana sepanjang menjadi ketua pengarang ini, petugas kita bijak dan faham tentang peranan masing-masing terutama generasi baharu yang cekap dan selesa dengan penggunaan teknologi multimedia dan aplikasi media sosial,” katanya.

Zakaria, ketua pengarang ke-11 Bernama sejak ditubuhkan pada 1967, berkata kepimpinan baharu atau penggantinya harus melihat semula peranan dan fungsi agensi berita itu untuk terus menjadi relevan serta sumber rujukan orang ramai untuk mendapatkan berita sahih dan cepat.

“Lambakan sumber berita dari pelbagai platform ketika ini adalah satu cabaran kepada Bernama yang terpaksa bersaing bagi menjadi penyebar berita yang pertama daripada media lain.

“Kita lihat banyak perubahan berlaku di mana pada zaman saya, kita menggunakan mesin taip tetapi sekarang wujud mobile journalism atau mojo. Dahulu kita hanya melayani media cetak, radio dan TV tapi sekarang kita ada multimedia, medial sosial dan media maya. Sekarang ini generasi milenial, lebih suka menggunakan teknologi, gajet dan sebagainya,” tegasnya.

Untuk menempuh pembaharuan yang berlaku dalam dunia kewartawanan, Zakaria telah memperkenalkan agensi berita itu dengan mewujudkan Pusat Berita Multimedia yang dilengkapi dengan telefon pintar, alatan siaran langsung sehingga ke penggunaan ‘dron’ dalam liputan berita.

Kini Bernama tidak ketinggalan dan aktif dalam menyampaikan beritanya di pelbagai platform media sosial dan Internet.

Sewaktu Zakaria menjadi Ketua Pengarang, Jabatan Pengarang mengorak langkah untuk menggabungkan pelbagai perkhidmatan bagi mengukuhkan operasi pemberitaan agar dapat dimanfaaatkan oleh semua platform medianya.

“Inisiatif penggabungan ini atau ‘convergence’ ini adalah daripada segi penjimatan kos dan tenaga kerjayanya. Ia akan dikongsi dari sudut TV, radio dan media sosial sekali gus operasi kini lebih efisien,  tidak perlu 10 orang pergi ke satu tugasan yang akan mengakibatkan satu pembaziran tenaga kerja kita,” katanya.

Mengakhiri temuramah sebelum beliau mengemaskan pejabatnya, Zakaria berkata masanya selepas ini akan diluangkan untuk menulis  buku berkaitan pengalaman beliau sebagai wartawan dan setiausaha akhbar Dr Mahathir.

Zakaria sempat menitipkan pesanan buat warga Bernama dan generasi wartawan akan datang supaya sentiasa berusaha untuk meletakkan Bernama terus kekal relevan dan penting kepada negara dan rakyat.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.