JITRA, 10 Mei — Seorang murid tahun enam berketurunan Tionghua, Muhammad Firdaus Hong Abdullah, 12, begitu teruja dengan kedatangan Ramadan tahun ini apabila berpeluang menjalani ibadah puasa buat kali kedua selepas memeluk Islam atas kehendak sendiri pada Mac tahun lepas.

Lebih bermakna lagi tindakannya menukar agama itu tidak mendapat halangan daripada ibu bapanya yang beragama Buddha, malah mendapat sokongan dan suntikan semangat agar dapat mengikuti agama baharu dengan penuh taat dan patuh.

Ketika menceritakan bagaimana beliau boleh tergerak hati memeluk Islam, Muhammad Firdaus yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Kubang Pasu berkata, minatnya kepada agama Islam bermula sejak berada di tadika lagi kerana berkawan dengan orang Melayu.

Pemilik nama asal, Lim Ching Hong itu berkata, disebabkan sering bergaul dengan masyarakat beragama Islam yang baik hati, beliau tertarik dengan Islam dan mengambil keputusan memeluk agama itu tahun lalu.

“Saya meminati mata pelajaran agama Islam dan suka dengar kisah-kisah nabi daripada guru dan dapat mengetahui tentang kejadian manusia dan alam ini, hidup saya jadi tenang dengan Islam.

 “Walaupun tinggal bersama ibu bapa yang bukan Islam, mereka faham kehendak Islam dan tetap kejutkan saya pukul 5 pagi untuk bersahur dan mereka tahu makanan halal dan haram untuk dihidangkan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di pekan Tunjang di sini, hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, beliau juga semakin mahir membaca dan mengeja ayat-ayat al-Quran dan mengingati ayat-ayat pendek untuk dibaca semasa solat.

Setiap hujung minggu, beliau ditemani bapanya Lim Hu Kheng, 45, ke rumah datuk angkatnya, Aziz Isa, 63, yang menetap di Pulau Timbul di sini, untuk mendalami ajaran Islam termasuklah solat berjemaah.

“Sejak saya menjadi saudara baharu, ramai yang mengambil berat tentang diri saya, malah guru-guru pun sering mengajar saya tentang Islam dan sudah membeli baju raya untuk saya tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, beliau dan isteri, Wan Dee Fandesa, 41, tidak menghalang keinginan anak mereka untuk memeluk Islam kerana sejak kecil lagi dia sering menceritakan perihal agama Islam di rumah.

“Kami tak keberatan beri dia masuk Islam sebab dia mendapat bimbingan daripada datuk angkatnya yang selalu bawa dia berbuka puasa dan bertarawih di masjid, cuma saya bagitau dia supaya dia kena betul-betul ikut Islam dan taat pada tuhan,” katanya.

Katanya, rutin Ramadan kali ini ialah selepas bersahur beliau dan isteri akan pastikan anaknya solat Subuh sebelum menghantar ke sekolah termasuklah Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.