Pembantu Adun Balakong Terima Sampul Surat Berisi Senjata Tajam

0
88

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Pembantu politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali disyaki mempunyai kaitan dengan kempen bantah tulisan Jawi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima laporan berkenaan daripada lelaki berusia 42 tahun itu pada 5.15 petang semalam, memaklumkan menerima sampul surat yang dialamatkan ke rumahnya di Kajang.

Beliau berkata pembantu Adun berkenaan tidak pasti atau mengenali individu yang menghantar sampul surat itu kerana tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum ini.

“Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Md Fahrul Afifi di talian 014-3700870.

Ahmad Dzaffir mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Saya menyeru masyarakat supaya tidak membuat kenyataan yang boleh membangkitkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan permusuhan dengan niat jahat,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.