Peru, Colombia ikrar lindungi rantau Amazon

0
46

LIMA, 28 Ogos — Presiden Peru Martin Vizcarra dan rakan sejawatannya dari Colombia Ivan Duque pada Selasa berikrar untuk bekerjasama melindungi rantau Amazon, di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa ekoran kebakaran yang memusnahkan hutan hujan itu, lapor agensi berita Xinhua.

Semasa mesyuarat kabinet di bandar Pucallpa, Amazon di timur Peru, kedua-dua negara menandatangani perisytiharan bersama mengenai perlunya melindungi hutan hujan daripada aktiviti komersil haram dan bahan cemar alam sekitar.

Selepas memeterai dokumen itu, Vizcarra berkata kebakaran di Amazon mendapat perhatian beberapa buah negara dan komuniti di seluruh dunia.

“Memelihara Amazon, yang dianggap nadi di planet ini, perlu dikekalkan dan adalah penting untuk membanteras pembalakan, perlombongan dan aktiviti haram lain.”

“Idea ini adalah untuk mencadangkan pelan tindakan yang komprehensif untuk menyokong dan membangunkan Amazon,” kata Vizcarra.

Katanya, beliau akan bertemu Duque di sempadan Amazon dalam waktu terdekat, untuk melancarkan komitmen berdepan situasi terkini yang selama ini tidak diberi perhatian sewajarnya.

Duque berkata Colombia akan menjadi tuan rumah mesyuarat itu “untuk mewujudkan kesedaran secara kolektif” mengenai tugasan melindungi Amazon.

Sebahagian besar hutan hujan Amazon terletak di Brazil, Peru dan Colombia turut meliputi Venezuela, Ecuador, Bolivia dan negara Amerika Selatan yang lain.

Kebakaran yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai keperluan memelihara Amazon.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.