Polis akan siasat, cari pihak terlibat kematian Muhammad Adib – KPN

0
81

ARAU, 27 Sept — Polis akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian anggota Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan keputusan inkues yang diumumkan Mahkamah Koroner, Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama pegawainya di Bukit Aman bagi menentukan langkah seterusnya termasuk sama ada akan memanggil semula beberapa individu yang pernah ditahan berhubung perkara itu sebelum ini.

“Sebelum ini kita telah berpuas hati bahawa tidak ada bukti untuk kita mengenakan tuduhan atas sesiapa, buktinya tidak cukup.

“Tetapi sekiranya mahkamah telah memutuskan ada unsur-unsur jenayah (berkaitan kematian Muhammad Adib) maka kita akan semak kembali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia tahun 2019 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Ditanya mengenai rumusan itu, Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengenal pasti sama ada prosedur operasi standard (SOP) polis dalam mengawal rusuhan dipatuhi atau sebaliknya pada kejadian tersebut.

“SOP sudah ada. Sama ada dipatuhi atau tidak itu yang boleh disemak mengapa SOP tidak dipatuhi (jika ada). Tapi SOP itu tidak perlu diubah, ia cukup dan saya tidak nampak keperluan untuk mengubahnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak supaya menerima keputusan inkues tersebut dan memberi amaran agar tiada pihak yang melakukan demonstrasi atau rusuhan.

Katanya, walaupun beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku, namun pihaknya telah bersiap sedia akan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit.

“Saya yakin tidak sampai tahap itu dan polis telah bersedia. Kita telah bincang mengenai perkara itu tapi kita yakin tidak sampai ke tahap itu. Kalau sudah terima keputusan mahkamah ikutlah keputusan mahkamah, kenapa perlu yang berarak atau merusuh,” katanya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata Polis Selangor akan menunggu laporan penuh berhubung keputusan inkues kematian anggota bomba itu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Kita akur kepada (keputusan) mahkamah, dan akan jalankan siasatan berdasarkan keputusan itu.

“Setakat ini saya belum terima lagi laporan keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab di sini, hari ini.

Noor Azam berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula pihak berkaitan yang pernah diambil keterangan berhubung kes itu, sebelum ini.

Katanya, beliau juga akan merujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bagi meneliti semula kes berkenaan.

Terdahulu pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

Arjunaidi akan menggantikan Ab Rashid yang akan bersara wajib pada 30 September.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.