Oleh : Zanariah Nor Zin
Banten, Indonesia

Yanti, 12 tahun antara ribuan mangsa tsunami yang melanda Selat Sunda, pada 22 Dis lepas.

Walaupun ahli keluarganya selamat, rumah yang didiami tidaklah musnah teruk, namun menjadi saksi tujahan bencana besar itu sudah pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.

Apatah lagi dengan usia yang begitu muda, murid di Sekolah Dasar Negeri (SDN) Taman Jaya 2, Kecamatan Sumur dalam Kabupaten Pandeglang itu adakalanya termenung ketika berbual dengan saya.

Perlahan-lahan saya mengajukan soalan supaya anak kecil itu selesa untuk menceritakan kisah pada malam kejadian tsunami.

Yanti berkata, sewaktu kejadian dia sekeluarga sedang tidur sebelum mendengar jeritan kuat orang kampung

“lari, lari tsunami tsunami, ombak hitam.. lari Yanti selamatkan diri”

Yanti bersama ibu bapa, nenek, kakak dan abang melarikan diri ke kawasan tinggi.

Disitu segalanya bermula.

Yanti (sebelah penulis, tudung putih) bersama rakan-rakan SDN Taman Jaya 2.

Tubuh kecil ini antara ratusan yang berada di atas bukit menyaksikan air berwarna hitam menyapu bersih pantai Sumur.

Teriakan mangsa tsunami yang tidak sempat menyelamatkan diri sayup kemudian hilang ditelan ombak bergulung.

“Saya masih trauma kak, bunyi ombak selalu bermain di fikiran, tidur malam sering terganggu dengan mimpi ngeri”

Selepas kejadian itu, ibu bapanya sering berpesan agar sentiasa berdoa semoga anak gunung Krakatau tidak lagi memuntahkan isinya.

Sewaktu kejadian itu Yanti bersama 80 murid SDN Taman Jaya 2 sedang cuti sekolah hujung tahun.

Mahupun begitu, hidup perlu diteruskan.

Sejak Isnin lepas, Yanti bersemangat memulakan sesi persekolahan 2019.

Memandangkan SDN Taman Jaya 2 terletak hampir dengan pantai iaitu kira-kira 50 meter dari gigi air, sebilangan besar murid-murid masih trauma dan belum bersedia kembali ke sekolah.

Namun, selepas mengetahui ketibaan kumpulan sukarelawan ke sekolah mereka, ruangan sisa kelas yang sebelumnya kosong, sedikit demi sedikit penuh.

Dalam lawatan itu, saya yang mengikuti rombongan Global Peace Mission (GPM) Malaysia disambut Kepala Sekolah dan para guru SDN Taman Jaya 2.

Tujuan GPM ke sekolah itu adalah untuk melakukan program pemulihan trauma.

Rombongan GPM Malaysia bersama sukarelawan Indonesia di SDN Taman Jaya 2 selepas selesai sesi pemulihan trauma.

Ketua Misi Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata, terapi berkenaan penting kerana ia membantu melegakan murid-murid SDN yang teringatkan detik cemas bencana itu atau harta benda yang musnah.

Beliau berkata, ia dibuat memastikan kesemua mereka tidak murung dengan melakukan pelbagai aktiviti dan permainan sama ada secara individu atau berkelompok.

“Kami (GPM) telah mengadakan terapi trauma terhadap 80 murid-murid SDN dengan menghiburkan mereka dengan memberi hadiah dan snek makanan.

“Antaranya melakukan aktiviti melukis dan mewarna terhadap mereka. Melalui kreativiti melukis ini, kita akan nampak apa yang mereka rasa serta ingin luahkan melalui lukisan,”

Ketua Misi #peduliselatsunda 1.0 GPM Malaysia, Syahrir Azfar Saleh sedang melayani murid lelaki SDN Taman Jaya 2 memilih permainan sewaktu sesi pemulihan trauma.

Syahrir berkata, apabila selesai melukis, sukarelawan GPM Malaysia dan Indonesia akan memilih yang lukisan terbaik dan memberikan mereka hadiah.

“Secara tidak langsung, ia akan membantu mereka lebih bersemangat untuk bersekolah walaupun belajar dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Beliau berkata ekoran bencana itu, SDN mereka telah musnah sebahagian akibat dibadai ombak tsunami yang kuat.

Misi ini dijangka berlangsung sehingga esok dan orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui talian www.billplz.com/peduliselatsunda atau deposit ke Bank Global Peace Mission di akaun Maybank Islamic (5642-2161-1602); Bank Islam (1402-30100-29224); dan Affin Islamic Bank (1051-9000-2871).

Lima orang terdiri daripada dua wakil GPM, wartawan Bernama Muhammad Afiq Mohd Asri, serta jurukamera BNC Mohammad Hafiz Ahmad Kamal turut serta dalam misi kali ini. 

Tsunami, yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, berlaku ekoran pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang diikuti gombang air pasang serta gelombang kuat.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut manakala 30,000 hilang tempat tinggal.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.