Tanjak, tengkolok terus ‘hidup’ dengan sentuhan moden

0
179

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Destar, tanjak, atau tengkolok – biar apapun nama yang diberi, ketiga-tiganya merujuk kepada aksesori kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki dan pakaian kebesaran raja-raja Melayu sejak berkurun lamanya.

Walaupun aksesori itu kebiasaannya dipakai dalam adat istiadat diraja dan dianggap sebagai klasik, namun dengan suntikan moden, warisan Melayu itu terus ‘hidup’ dan menjadi perhatian generasi baharu pada hari ini.

Bagi pengarang tanjak Mohd Herin Mansor, 39, walaupun lazimnya ia dipakai bersama baju Melayu yang dilengkapi kain samping, keris, dan capal, namun demi memastikan kelestarian seni budaya Melayu itu dan tidak lapuk ditelan zaman, penghasilan aksesori itu memerlukan suntikan moden untuk menarik minat generasi muda.

“Secara asalnya, destar, tengkolok dan tanjak ini menggunakan kain songket dan dipakai bersama baju Melayu lengkap, namun bagi yang moden seperti pemilihan kain corak batik dan kain tanpa corak khususnya berwarna hitam menjadi pilihan lebih-lebih lagi golongan muda,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tanjak moden akan menggunakan tekstil kain gam kerana teksturnya yang keras seperti kolar baju kemeja dan mudah dibentuk.

Anak jati Parit Sulong, Batu Pahat itu berkata tanjak dan tengkolok moden menjadi pilihan generasi muda kerana ia tampak kasual dan mudah dipadankan dengan pelbagai jenis pakaian termasuk kemeja-T.

Bagaimanapun, katanya walaupun aksesori itu diberi nafas baharu, ciri-ciri asalnya seperti tapak, lipatan dan simpulan wajib dikekalkan kerana setiap jenis tengkolok dan tanjak mempunyai identitinya tersendiri.

“Setiap jenis tanjak ada maksudnya yang tersendiri, ia mewakili suku masyarakat Melayu dan daerah atau negeri asal tanjak itu dipakai, misalnya Solok Timbo dari Negeri Sembilan dan Ayam Patah Kepak dari Perak,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Beliau berkata kategori tanjak terbahagi kepada dua iaitu untuk golongan raja seperti Dendam Tak Sudah, Kacang Dua Helai Daun dan Sarang Kerengga, dan rakyat biasa iaitu Solok Timbo dan Helang Menyongsong Angin.

“Tanjak Dendam Tak Sudah adalah pakaian eksklusif raja yang memerintah seperti Yang di-Pertuan Agong, Undang Yang Empat dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” jelasnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.