Tentera sanggup tolak tawaran Komunis demi negara tercinta

0
554

Oleh Rozainah Abdul Rahim

IPOH, 13 Sept — Demi cintakan negara dan tidak sanggup mengkhianati tanah air, seorang anggota tentera sanggup menolak tawaran lumayan daripada gerakan komunis untuk menyertainya.

Menurut bekas Koperal Mohd Ramli Husin,80, kehebatan anggota tentera Malaysia tidak dapat dinafikan sehingga pihak komunis berusaha untuk mendapatkan khidmat serta kepakaran mereka.

“Gaji anggota tentera ketika itu kecil walaupun menggadaikan nyawa untuk keamanan dan keselamatan tanah air sebab itu komunis cuba mengumpan dengan tawaran lumayan.

“Saya akhirnya mengambil keputusan untuk bersara daripada tentera pada 1971 dan bekerja di Lembaga Padi Sabah selama dua tahun sebelum membuka perniagaan di Kota Kinabalu selama 10 tahun sebelum pulang ke Perak,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini. 

Mohd Ramli yang menyertai tentera pada 1961 semasa berumur 17 tahun berkata, ketika era perkhidmatannya anggota tentera yang bersara menerima bayaran sebanyak RM40 sebulan selama dua tahun dan ia perlu diambil di pejabat daerah.

“Ini adalah untuk tujuan pemantauan bagi memastikan mereka tidak melibatkan diri dengan komunis yang mencari bekas tentera yang mahir dalam komunikasi tentera, perubatan dan persenjataan,” kata Mohd Ramli yang bersara pada umur 27 tahun.

Berkongsi lebih lanjut pengalaman selama 10 tahun dalam perkhidmatan, ayah kepada tujuh orang anak itu berkata beliau merupakan antara yang terselamat semasa konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia di Pulau Sebatik, Tawau, Sabah pada 1963 hingga 1966.

“Semasa pertempuran itu, 40 askar Melayu terkorban dan seramai 300 askar Indonesia berjaya kami tangkap dan serah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya 

Lebih membanggakan, Mohd Ramli berkata ‘tuah’ terselamat dalam pertempuran tersebut menyebabkan beliau digelar ‘hero’ semasa menyertai kursus senjata dan meriam selama enam bulan di School of Military di Wauru, New Zealand.

“Saya satu-satunya wakil askar Melayu dari Wauru yang dibawa ke sambutan Hari Malaysia di Wellington dan apabila saya berritahu saya baru sahaja terselamat dalam pertempuran itu, semua hadirin memberi penghormatan dan mula menggelar saya ‘hero’.

“Tentera kita amat disanjungi di negara luar dan saya berasa sedih apabila baru-baru ini terdengar ada pihak menyatakan tentera hanya tahu makan dan tidur walhal kami telah berkorban demi mempertahankan sempadan dan kedaulatan negara,” katanya. 

Mohd Ramli juga merupakan antara bekas anggota keselamatan yang terlibat mempertahankan bumi Sabah daripada dibolosi Tentera Nasional Indonesia (TNI) semasa peristiwa hitam Kalabakan yang berlaku pada 29 Dis 1963, beberapa bulan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept.

Pada ketika itu, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Semenanjung, pasukan polis hutan, Sabah Home Guard dan penduduk kampung di sekitar Kalabakan berjuang bermati-matian mematahkan serangan penceroboh yang tidak berpuas hati dengan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.

Dalam perkongsian dengan Bernama, Mohd Ramli turut mengingatkan generasi hari ini supaya bersyukur kerana lahir dalam keadaan aman dan diwariskan sebuah negara selamat serta membangun tanpa perlu bimbang mengenai ancaman keselamatan. 

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.