Turun had harga pembeli asing langkah sementara bagi kelangsungan sektor hartanah

0
126

PUTRAJAYA, 15 Okt — Pengumuman kerajaan mengenai penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 dalam Belanjawan 2020 adalah langkah jangka pendek bagi memastikan kelangsungan sektor hartanah negara.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata walaupun langkah itu agak kontroversi, namun ia tidak mengenepikan hak rakyat kerana ia hanya akan  dilaksanakan selama setahun dan terhad kepada unit yang telah siap dan tidak terjual.

“Ia juga terhad kepada pangsapuri dan kondominium, bukan hartanah bertanah. Jadi dari segi implikasi negatifnya adalah terhad.

“Walaupun banyak persoalan, kadangkala kerajaan terpaksa mengambil langkah yang mungkin ada persoalan tetapi niat akhirnya dibuat, setelah mengambil pertimbangan sewajarnya, untuk memastikan kelangsungan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat khas Belanjawan 2020 dan Isu semasa, di sini hari ini.

Terdahulu, semasa menyampaikan taklimat berkenaan, Johan berkata langkah itu dilaksanakan berikutan kelembapan sektor hartanah ekoran lambakan bilangan rumah dan hartanah komersial yang tidak terjual di negara ini.

Beliau berkata jika kerajaan tidak mengambil langkah mengurangkan stok hartanah tidak terjual, ia akan menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak termasuk bank yang membiayai projek, pemaju dan pekerja yang terlibat.

“Unit komersial bernilai tinggi tidak terjual ini menunjukkan tiada permintaan daripada rakyat Malaysia. Memandangkan RM600,000 adalah di atas nilai rumah mampu milik dan tiada permintaan tempatan, kerajaan mengambil keputusan menggalakkan penjualan hartanah,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.

Sementara itu mengenai program lain dalam Belanjawan 2020 yang paling mendapat perhatian rakyat, Johan berkata pihaknya menerima banyak soalan mengenai inisiatif  #MalaysiaKerja memandangkan ia bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk belia dan wanita.

“Ini akan melibatkan satu peruntukan besar dan mungkin banyak soalan berkaitan kelayakan dan mekanisme,” katanya.

Beliau berkata perincian #MalaysiaKerja akan diperjelaskan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh terdekat.

Inisiatif #MalaysiaKerja dijangka dapat mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun di samping mengurangkan kebergantungan kepada 130,000 orang pekerja asing.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.