JITRA, 18 Feb — Usia hampir senja bukanlah alasan buat sekumpulan warga emas untuk menjadikan aktiviti mendaki di Bukit Malau di sini rutin harian mereka sebagai insiatif untuk kekal sihat dan cergas.

Ahmad Fauzi Ibrahim, 64, yang dikenali sebagai Pak Baie berkata, beliau sebaliknya berasa tidak segar jika tidak melakukan aktiviti lasak itu, justeru setiap hari seawal 7 pagi, beliau sudah sampai di kaki Bukit Malau untuk mendaki bersama rakan-rakannya.

“Biasanya kami ambil masa lebih dua jam mendaki bukit yang tinggi puncaknya lebih kurang 150 meter dengan trek dalam hutan yang agak mencabar.

“Tapi kami tetap panjat perlahan-lahan, kalau tak larat berhenti sekejap, sambil-sambil nikmati kesegaran udara dalam hutan, dah segar sikit sambung daki balik,” katanya yang juga aktif dalam aktiviti selam skuba kepada Bernama di sini, hari ini.

Pasangan suami isteri, Chong Song Boon, 74, dan Yong Thin Loo, 68, berkata mereka sudah melakukan aktiviti mendaki bukit sejak muda lagi bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.

“Kami datang kerap atau sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, naik sampai puncak dan turun semula dalam sejam dua pun badan sudah rasa bagus, banyak berpeluh. Lepas naik bukit baru balik buat kerja lain,” kata Yong.

Sementara itu Shoberi Hashim, 63, yang merupakan bekas kakitangan keselamatan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata sejak bersara, beliau aktif melakukan pelbagai aktiviti terutama berbasikal dan mendaki bukit.

Shoberi berkata mendaki adalah latihan terbaik yang banyak memberi kelebihan kepada tubuh antaranya menguatkan otot kaki serta sangat bagus untuk jantung.

“Bila sudah makin berusia, lutut pun cepat rasa sakit, tapi dengan melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan secara konsisten, kita dapat elakkan masalah itu.

“Setiap pagi rutin pak cik bermula seawal 5.30 pagi, mula-mula pergi surau kemudian buat senaman ringan diikuti dengan berbasikal atau mendaki bukit,” katanya yang tinggal tidak jauh dari Bukit Malau.

Di samping mendaki, kumpulan warga emas ini turut mengambil inisiatif untuk memastikan kawasan bukit berkenaan tidak dicemari dan menasihatkan pendaki-pendaki lain agar tidak mematahkan atau menebang  pokok di laluan mereka sesuka hati.

Ahmad Fauzi berkata beliau juga cuba menanam spesies lumut yang dibawa khas dari Gunung Jerai di kawasan Bukit Malau bagi menambahkan kehijauan di permukaan pokok dan batu-batu di bukit berkenaan.

“Selain itu kami juga sering menasihatkan pendaki-pendaki agar menjaga kebersihan kawasan bukit ini kerana ia kawasan persendirian dan kita tidak mahu pemilik ambil tindakan menutup kawasan ini kepada umum akibat perangai tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

“Orang dah benarkan kita beriadah di sini, jangan khianati. Sama-sama kita jaga amanah ini kerana kita lakukan benda baik di sini, bukan saja-saja datang sini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.